-->

Type something and hit enter

Pages

Translate


On
Contoh Karangan SPM Peranan Ibu Bapa Untuk Mengawal Penggunaan Internet Dalam Kalangan Anak-anak.

(KARANGAN DIMENSI KELUARGA)
Remaja kini banyak menghabiskan masa dengan melayari Internet yang
memberikan pelbagai kesan kepada mereka.
Huraikan peranan ibu bapa untuk mengawal penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak.

             Anak kecil main api,
            Terbakar hatinya yang sepi
             Air mata darah bercampur keringat,
             Bumi dipijak milik orang.

          Lirik lagu Warisan di atas mengenai nasib anak bangsa pada masa akan datang sekiranya kita membiarkan sahaja minda kita dijajah oleh anasir luar. Umumnya mengetahui bahawa penjajahan minda lebih berbahaya daripada penjajahan secara fizikal kerana penjajahan minda ini bersifat halus dan sukar untuk dikesan berbanding dengan penjajahan Internet. Melalui Internet, penjajahan minda ini lebih  halus dan  mudah disebarkan kerana generasi muda hari ini terlalu leka dengan Internet sehingga terikut-ikut akan budaya kuning serta hedonisme yang dibawa oleh anasir luar. Dakyah hendonisme amat dasyat sehingga remaja merupakan benteng pertahanan negara dikongkong dan kehidupan mereka lebih mengutamakan hiburan dan keseronokan sehinggakan tanggungjawab mereka sebagai pelajar hapus daripada minda. Sebelum nasi menjadi bubur, ibu bapa orang yang paling hampir dengan remaja perlu mengawasi anak-anak mereka agar budaya kuning serta hendonisme ini tidak menjadi ikutan anak-anak. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa untuk mengawal penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak?

          Antara peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ialah ibu bapa perlulah memberi didikan agama yang mantap kepada anak-anak sebagai pendinding kepada anak-anak agar terelak daripada dakyah songsang Barat. Internet bukanlah sesuatu yang mudah dikawal “programming”nya. Oleh sebab itu, banyak laman-laman web yang mengandungi unsur-unsur negatif seperti budaya Black Metal, Skin Head dan pornografi tersebar dengan begitu pantas di Internet. Melalui didikan agama yang mantap sahaja, anak-anak dapat membezakan yang mana perbuatan yang keji dan yang mana perbuatan yang mulia. Sabda Rasulullah SAW ‘akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu’. Sekiranya anak-anak melayari laman-laman web yang berunsur negatif sudah pasti  pasti merosakkan minda mereka dan menyebabkan mereka lalai untuk menyelesaikan tuntutan agama yang wajib mereka tunaikan seperti sembahyang lima waktu sehari semalam serta menjalankan tanggungjawab belajar kerana hanya dengan pendidikan mereka mampu mengubah status ekonomi keluarga. Oleh itu, jelaslah bahawa memberikan didikan agama yang mantap kepada anak-anak adalah penting bagi mengurangkan masalah penyalahgunaan Internet.

Selain daripada memberikan didikan agama yang mantap kepada anak-anak, ibu bapa juga perlu mengehadkan masa penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak. Memang tidak dinafikan bahawa Internet mempunyai pelbagai kebaikan tetapi ibu bapa perlulah sedar bahawa Internet juga boleh mendatangkan  pelbagai keburukan kepada anak-anak. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, mereka mestilah menetapkan masa penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa hanya membenarkan anak-anaknya menggunakan Internet  pada waktu-waktu tertentu terutama jika mereka ingin mencari bahan ilmiah ataupun untuk menghilangkan stres. Hal ini secara tidak langsung akan mengajar anak-anak agar menggunakan masa dengan baik di samping bijak menggunakan Internet. Sekiranya anak bebas menggunakan internet setiap masa, impaknya Internet mungkin akan melalaikan anak-anak. Jadi, tegaslah bahawa ibu bapa perlu mengehadkan masa penggunaan Internet oleh anak-anak agar anak-anak lebih berdisiplin ketika menggunakan Internet.

          Seterusnya, ibu bapa haruslah memberikan pendedahan tentang Internet kepada anak-anak. Pendedahan berkaitan Internet ini adalah penting supaya anak-anak mengetahui kebaikan dan keburukan Internet sewaktu akhlak mereka masih boleh dibentuk seperti kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini akan menyebabkan mereka akan lebih berhati-hati dalam menggunakan aplikasi-aplikasi yang melibatkan penggunaan Internet. Ibu bapa perlulah menunjukkan sikap yang positif ketika menggunakan Internet di hadapan anak-anak dan mengajar mereka tentang cara penggunaan Internet yang betul. Hal ini kerana tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati. Cuba bayangkan sekiranya anak-anak tidak diberikan pendedahan tentang Internet daripada kecil. Mungkin apabila dewasa kelak mereka akan terikut-ikut budaya-budaya yang tidak bermoral yang telah dipelajarinya daripada Internet. Natijahnya, pendedahan tentang Internet daripada ibu bapa kepada anak-anak akan dapat membantu untuk mengurangkan masalah penyalahgunaan Internet.

          Di samping itu, sebagai ibu bapa yang menyayangi anak-anak, mereka perlulah mendekatkan diri anak-anak semasa mereka aktiviti pembelajaran menggunakan internet. Pada masa kini, pembelajaran menjadi lebih mudah dengan adanya Internet. Pelbagai laman sesawang telah diwujudkan bagi kemudah pembelajaran. Sekiranya anak-anak kerap menggunakan Internet untuk menuntut ilmu, ibu bapa perlulah menyokong tindakan anaknya itu. Ibu bapa tidak perlu risau sekiranya anak-anak tidak menggunakan buku untuk belajar malah mereka harus berbangga kerana anak-anak mereka merupakan generasi yang pintar dalam menggunakan Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi. Tambahan pula, sebagai ibu bapa yang tahu penggunaan internet, mereka tidak perlu risau kerana mereka boleh mengesan aktiviti Internet anak-anak dengan memantau bahagian “history” atau sejarah penggunaan enjin carian sama ada Google, Al-Tavista, Monzila Firefox, Yahoo atau MSN. Hanya dengan cara ini ibu bapa akan tahu sama ada anak-anak mereka menggunakan Internet untuk tujuan kebaikan atau sebaliknya Jadi, sebagai ibu bapa, mereka haruslah menyokong tindakan anak-anak dalam proses meningkatkan IQ melalui penggunaan Internet dalam masa yang sama ibu bapa juga boleh memantau dan terlibat sama semasa aktiviti Internet anak-anak.

          Akhir sekali, ibu bapa mestilah memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan Internet. Janganlah terlalu mempercayai anak-anak kerana sikap tersebut akan membawa masalah kepada ibu bapa pada masa akan datang. Hal ini boleh dilihat dalam filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang berjudul ‘Anakku Sazali’ yang berkisahkan seorang bapa yang terlalu mempercayai anaknya sehingga anaknya sanggup menipu dirinya. Pemantauan terhadap penggunaan Internet oleh anak-anak mungkin sukar dilakukan kerana pada masa kini anak-anak telah mempunyai gajet peribadi seperti telefon pintar dan komputer riba. Namun, sebagai ibu bapa berminda kelas pertama dan arif berkaitan kemahiran Internet dan bertanggungjawab, mereka mampu mengesan penyalahgunaan Internet  dalam kalangan  anak-anak dengan memantau aktiviti penggunaan Internet. Sebagaimana saya perkatakan sebelumnya iaitu ibu bapa boleh melihat aktiviti internet anak-anak pada bahagian “history” atau sejarah enjin carian Internet, bukan sahaja dalam masa sehari, malah sepanjang masa. Tegasnya, ibu bapa mestilah memantau anak-anak semasa menggunakan kemudahan Internet untuk kebaikan anak-anak, keluarga dan bangsa.

          Akhir kata, dapatlah disimpulkan bahawa peranan ibu bapa dalam mengawal penggunaan Internet amatlah penting. Selain daripada ibu bapa dapat mengelakkan anak-anak daripada penjajahan minda, ibu bapa juga dapat melahirkan anak-anak yang celik dalam penggunaan Internet. Dengan adanya generasi yang bijak dalam penggunaan Internet, sudah pasti negara kita akan bertambah maju setanding dengan negara-negara lain. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan individu yang bijak, berakhlak serta dapat memajukan bangsa, agama dan negara. Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, nasihat saya kepada ibu bapa yang bijak dan mahir dalam penggunaan Internet, kebijaksanaan ibu bapa dalam aplkikasi Internet mempunyai banyak kelebihan,  ibarat anak seorang pelari pecut sedang berada di garisan penamat dengan larian 50 km dan ibu bapa perlu berlari lebih laju daripada pecutan anak mungkin 80 km. Barulah anak akan tahu kehebatan seorang ayah kerana ayah borek anak rintik dan ayah suri teladan bagi seorang anak.
Back to Top